Nov 27, 2011

HIjrah di bumi bertuah - Salam Awal Muharram 1433H



Tahun ini aku bertuah kerana dapat menyambut Awal Muharam di bumi bertuah. Bumi Anbia, bumi yang penuh dengan sejarah kegemilangan Islam. Bumi Erbil, Kurdistan Iraq. Aku sempat mengaminkan doa akhir tahun sebelum maghrib dan di ikuti doa awal tahun selepas solat maghrib di ketuai oleh Encik Din wakil dari KPJ. Pukul 4.50ptg sudah masuk waktu maghrib.

Semoga tahun baru 1433H memberi lembaran baru aku sebagai seorang Muslim dan membentuk aku menjadi insan yang kamil.

Aminn



Nov 22, 2011

Gemuruh Suara - Team Malaysia's Theme Song

Sukan adalah salah satu cara untuk memupuk perpaduan dan semangat cintakan negara. Contoh terdekat kita boleh tengok malam tadi pada perlawanan akhir bolasepak Sukan SEA di antara Malaysia & Indonesia. Satu perlawanan yang menarik. Sudah lama perlawanan kompetitif macam ini di tunggu-tunggu oleh peminat-peminat Harimau Malaya.

Semua kelompok masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan kaum sama-sama menyaksikan dengan penuh minat. Memberikan sokongan yang padu pada pasukan negara. Memberi sokongan yang tak berbelah bagi untuk pasukan kesayangan mereka yang sedang berjuang di Stadium Bung Karno Senayan, Indonesia menghadapi bukan sahaja pasukan Indonesia tetapi semua penyokong tuan rumah yang bagai begitu anti pada Malaysia. Apa sahaja perlawanan yang ada penglibatan pasukan negara di berikan pandangan negatif. Kali ini atlet negara perlu mempersiapkan diri mental dan fizikal bagi menghadapi suasana yang begitu "lain" di Jakarta dan Palembang.
Semoga semangat serumpun yang di war-warkan menjadi kenyataan dan hubungan baik di antara kedua-dua negara kekal selamanya.

Syabas pasukan Harimau Muda.



Apple of my eyes

Hari ni hari pertama aku keseorangan di rumah setelah menghantar keluarga bercuti di kampung. Rumah yang selalunya penuh keceriaan dengan suara anak-anak kini sunyi sepi. Satu suasana yang terasa begitu asing. Tiada suara yang menyambut aku pulang dari pejabat. Bagi sesetengah orang suasana sunyi adalah satu nikmat tapi bagi aku setelah berkeluarga aku merindukan satu suasana yang penuh dengan suara anak-anak. Suara mereka bagai kan satu irama yang begitu indah bagi aku.

Abah rindukan mama, Bellah, Rayyan dan baby Zara.

Nov 18, 2011

Tazkirah Jumaat: Doa Minta Cahaya

Sama-sama kita renungi dan hayati sebuah kisah yang dikongsikan rakan saya melalui e-mail.



Sebuah doa Rasulullah SAW yang bermaksud:” “Allah Tuhanku jadikanlah cahaya dalam hatiku, pada jiwaku, pada lisanku, pada penglihatanku, pada pendengaranku, di hadapanku, di belakangku, di atasku, di bawahku, dikananku, di sebelah kiriku, pada kemudahanku, di dalam darahku, di dagingku, jadikanlah seluruh tubuhku bercahaya dan besarkanlah cahaya itu bagiku.”

Kita sangat memerlukan pada cahaya dalam kehidupan seharian di dunia ini, begitu juga di akhirat nanti. Kita perlu pada cahaya untuk meniti titian Sirat yang penuh dengan kegelapan. Cahaya inilah yang akan menyuluh kegelapan di sana nanti. Maka Rasulullah s.a.w. mengajarkan doa ini kepada umatnya, walaupun Baginda sendiri tidak perlu meminta tetapi itulah sifat tawadduknya.

Amalan yang soleh (baik) juga melahirkan cahaya.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : ” Selawat kepadaku itu merupakan satu (kelompok) cahaya di hari kiamat yang menjelma di Siraat (Titian al-Mustaqiim)” (Hadis Riwayat Abu Sa’id)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda : “Sesiapa bersembahyang sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama surah Yassin dan rakaat kedua Tabaroka (Al-Mulk), Allah jadikan setiap huruf cahaya dihadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima suratan amalannya ditangan kanan dan diberi kesempatan membela 70 orang daripada ahli rumahnya tetapi sesiapa yang meragui keterangan ini, dia adalah orang-orang yang munafik.

Sabda Rasulullah saw,”Aku wasiatkan kepada kalian agar bertakwa kepada Allah dan Al Qur’an sesungguhnya ia adalah cahaya kegelapan, petunjuk di siang hari maka bacalah dengan sungguh-sungguh.” (HR. Baihaqi)

Rasulullah SAW bersabda:”Serban atas ketayap adalah perbezaan antara kita dan orang-orang musyrikin, akan diberikan pahala pada hari Kiamat bagi tiap-tiap lilitan serban yang dililiti seseorang atas kepalanya satu cahaya.


Nov 15, 2011

Hari Kecemerlangan dan Ihtifal PASTI

Hari ni adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh my little princess kerana hari ni adalah Hari Kecemerlangan dan Ihtifal PASTI. Sudah sebulan lebih dia berlatih berdoa, membaca surah dan bernasyid. Hampir setiap hari dia akan ingatkan aku supaya hadir. Bila aku cakap abah tak nak datang mula lah merajuk sambil cakap, "Bellah nak bagitahu cikgu abah tak nak datang".

Nasib anak akulah dapat abah yang kuat menyakat Hehehehehe

Abah akan datang my little princess. Mana boleh terlepas peluang tengok anak abah buat persembahan. Tak sangka pula my little princess boleh buat persembahan di depan orang ramai. Bangga abah tengok.
Umairah: Barisan depan dua dari kanan

Anak aku tidak menduduki peperiksaan kerana baru berumur 4 tahun. Tahun depan barulah aku boleh tahu macamana performance my little princess dalam pelajaran.

Memang tak rugi menghantar my little princess ke PASTI yang mengabungkan akademik dan rohani. Hasilnya walaupun baru berumur 4 tahun, banyak surah dan doa yang di hafalnya. Dia pun dah kenal huruf jawi, rumi dan nombor. Siap boleh ajar Rayyan baca surah, doa dan nasyid.

Sekarang ni my little princess mula belajar mengeja (mengabungkan dua suku kata). Cuma kadang-kadang tersasul BO LA = susu. Takpe my little princess. Practise make perfect.

Insyaallah kalau Bellah rajin tahun depan bolehlah Bellah bacakan buku untuk abah ya.


Nov 11, 2011

Daulat Tuanku


Merafak sembah setinggi-tinggi tahniah ke hadapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri Kelantan Darul Naim sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Kali ke-42  pada 11 November 2011.
Daulat Tuanku

Tazkirah Jumaat: Rahsia Khusyuk Dalam Sembahyang

Sempena hari Jumaat yang mulia ni aku ingin berkongsi artikel yang pernah aku dapat melalui email untuk sama-sama dihayati. Semoga kita sama-sama mendapat manafaatnya. Aminnn

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.


Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya : "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?" Hatim berkata : "Apabila masuk waktu solat aku berwudhu' zahir dan batin."



Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?" Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-
1. Bertaubat
2. Menyesali dosa yang dilakukan
3. Tidak tergila-gilakan dunia
4. Tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')
5. Tinggalkan sifat berbangga
6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu
7. Meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah s.w.t. ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.