Feb 10, 2012

Tazkirah Jumaat: Langkah menzahirkan cinta

Kali ini tazkirah jumaat membawakan artikel yang saya pernah saya baca di internet berkenaan cinta. Banyak dikalangan kita hanya bercinta sebelum kahwin dan selepas berkahwin cinta yang dipupuk menjadi hambar. Ini adalah konsep yang salah. Sepatutnya selepas kahwin bibit-bit cinta kita yang halal menjadi lebih manis dan mekar sejajar dengan hubungan suci yang di pupuk oleh suami & isteri. Sama-samalah kita menzahirkan cinta kepada pasangan masing-masing. Semoga hubungan kita akan berkekalan di dunia & akhirat.

 “ Barangsiapa diberi Allah seorang isteri yang solehah,sesungguhnya telah ditolong separuh agamanya dan hendaklah bertaqwa kepada Allah separuh lainnya ”


Begitulah kata-kata Nabi s.a.w. dalam hadisnya yang ringkas tetapi mengandungi intipati yang cukup bermakna buat para isteri yg di sebut sebagai ” Qurrota A’yun ” iaitu penyejuk mata memandang bagi suami.Bila mana di terikatnya ijab kabul antara pasangan suami isteri maka telah sempurnalah sebahagian dari agamanya.Dan bermulalah pelayaran bahtera rumah tangga.

Bagi mereka yang bergelar isteri,gelaran " isteri " sebenarnya adalah cukup sinonim bagi mereka dan amat bermakna dalam erti bergelar sebagai isteri yg mukminah dan dalam masa yg sama menjadi isteri yg solehah.Seperti yang dilakarkan oleh Nabi s.a.w dalam hadisnya

" Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah "

Bagi wanita yang Allah berikan keistimewaan kepada mereka sebagai seorang isteri,Islam mengajar kepada kita bagaimana seorang isteri harus taat dan berbakti kepada suaminya.Dan begitu juga sebaliknya bagi seorang suami melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isterinya dengan baik sebagai amanah yg Allah taklifkan pada dirinya sebagai pemimpin rumah tangga. 
1. Panggilan suami isteri. Gunakan panggilan yang baik. Isteri memanggil suami dengan perkataan ‘abang, honey, darling, sayang,’ Suami pula memanggil isteri dengan panggilan ‘honey, darling, sayang,’ atau nama manja. Nabi s.a.w. memanggil A’ishah dengan ‘Humairaa’ yang boleh diertikan ‘si merah jambu’. Elakkan panggilan ‘ayahnya, bapanya, abahnya, papa, daddy’ dan seumpamanya. Elakkan ‘maknya, mama’ dan sebagainya. Ini berlaku selepas pasangan mendapat anak. Panggilan ini kadang-kadang bukan sahaja digunakan di hadapan anak bahkan semasa pasangan berdua sahaja. Jangan jadikan panggilan ‘darling’ dan ‘sayang’ di awal perkahwinan, tetapi di akhir perkahwinan ’pinggan dibaling senduk melayang’.



2. Bantu-membantu. Realiti kehidupan hari ini kedua-dua suami isteri bekerja. Waktu pejabat adalah dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Isteri akan bekerja semula sebagai surirumah seperti memasak, membasuh baju, mengemas rumah dan mengurus anak. Alangkah baiknya jika suami turut membantu kerja-kerja tersebut. Apabila ditanya tentang kerja Nabi s.a.w. di rumah, A’ishah berkata: “Adalah Nabi berkhidmat untuk isterinya (membantu isterinya dalam kerja-kerja rumah). Apabila terdengar azan, baginda keluar”. (Riwayat Bukhari)


 
3. Saling berkomunikasi dan berhubung. Komunikasi amat penting. Berbual dan bertanya khabar adalah satu bentuk komunikasi. Penggunaan SMS dan sebagainya amat baik. Hantarlah mesej tertentu seperti jenaka, teka-teki, cerita seks yang nakal dan sebgainya. Hubungan tanpa komunikasi adalah hubungan yang hambar. Lebih banyak kita berkomunikasi lebih banyak kita memahami. Tetapi waspada...jangan terlebih berkomunikasi hingga bertukar menjadi benci.



4. Hadiah. Hadiahkanlah sesuatu kepada pasangan anda sempena hari keramaian seperti hari ibu, hari pekerja, hari raya atau hari minggu. Hadiah akan mewujudkan kasih sayang. Berilah hadiah nescaya kamu pasti akan kasih-mengasihi. Hadiah tidak semestinya mahal. Yang penting keikhlasan dan penghargaan. Membeli bunga yang berharga RM3 pun sudah memadai.

5. Membuat kejutan. Contohnya suami mengajak isteri makan di tempat tertentu atau sebaliknya pada waktu yang sesuai seperti hari minggu.


 
6. Menjaga lidah agar tidak bercakap perkara yang tidak sesuai. Mulut murai, mulut ‘laser’ dan mulut celupar adalah perkara yang mesti dielakkan. Ada kemungkinan kata-kata akan menikam pasangan anda dan menyedihkannya. Disebut dalam hadis bahawa Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah bercakap perkara keji.


 
7. Memberi galakan terhadap minat pasangan atau hobinya. Salah satu kaedah memberi galakan ialah menyediakan ruang untuk pasangan melakukan aktivitinya, membeli barang kegemarannya atau melibatkan diri dengan hobi tersebut. A’ishah, isteri Nabi Muhammad s.a.w. ingin melihat orang Habsyah bermain. Nabi s.a.w. bersama A’ishah dan menemaninya hingga A’ishah berasa jemu. A’ishah berkata yang bermaksud: “Aku melihat Nabi s.a.w. melindungi aku dengan kain selendangnya, sedangkan aku ketika itu sedang melihat orang Habsyah bermain di masjid hinggalah aku berasa jemu...” (Riwayat Bukhari). Jangan larang pasangan anda melakukan aktiviti kesukaannya. Ada kemungkinan pasangan anda akan menghabiskan masa yang terlalu lama hingga mengabaikan tanggungjawab atau menghabiskan wang yang banyak dengan aktivitinya. Anda boleh berbincang dengan baik bagi mengatasi tabiat buruk itu.



8. Ucapan tanda penghargaan. Jangan lupa mengucapkan terima kasih, ucapan tahniah, ucapan takziah dan sebagainya.


 
9. Menghargai pemberian pasangan. Jangan dilihat pada kualiti atau harga pemberian itu, tetapi pandanglah pada hati yang ikhlas yang menghadiahkan benda tersebut. Yang lebih penting adalah yang tersirat, bukan yang tersurat. Jaga pemberian tersebut dengan baik. Jika tiada hadiah berbentuk material, ucapan sudah memadai......