Nov 3, 2012

Satu perjalanan

Esok akan bermulalah cuti akhir tahun bagi tahun ini. Cuti panjang yang ditunggu-tunggu oleh semua pelajar sekolah rendah dan menengah.

Teringat aku dulu-dulu bagaimana aku dan adik beradik menghabiskan masa sepanjang hari di musim cuti. Sebagai anak seorang guru, aku dan adik beradik lain tidaklah bebas bermain sepanjang hari sepertimana kanak-kanak lain. Ada jadual yang telah ditetapkan oleh ayahanda sepanjang musim cuti. Beliau seorang yang mementingkan displin dan sesiapa yang tidak mengikutinya akan mendapat "hadiah" istimewa. Ini bukan bermakna kami tidak dapat menikmati nikmat cuti panjang ni tapi kami menikmatinya dengan cara kami yang tersendiri sesuai dengan jadual khas yang ditetapkan oleh ayahanda.

Sempena cuti panjang kali ini famili aku akan bercuti di kampung selama 3 minggu (lama tu). Pasti aku akan merindui riuh rendah dan gelagat-gelagat anak-anak tersayang. Selalunya bila pulang dari pejabat anak-anak akan berebut-rebut menceritakan apa yang mereka buat pada hari tu.

Perjalanan pulang ke kampung dari Sri Iskandar ke Kota Bharu akan mengambil masa lebih kurang 6 jam perjalanan. Satu perjalanan yang panjang melalui Jalan Timur-Barat yang mencabar, yang penuh dengan bengkang bengkok, turun naik bukit dan pemandangan indah hutan di sepanjang jalan (kalau malam ermmm tak nampak apalah jawabnya). Aku mengambil keputusan untuk bertolak ke kampung dengan lebih awal dari yang dirancangkan iaitu selepas solat Maghrib. Letih badan begitu terasa memandangkan di siang harinya kudrat dan tenaga aku dihabiskan di pejabat.



  
Cuaca tak berapa baik sejak dari awal perjalanan lagi. Hujan renyai dan kadang kala lebat di beberapa kawasan. Kira OKlah tu. Cuaca di Puncak Titiwangsa berkabus tebal dek hujan dan kesejukan yang melanda. Bila aku lihat suhu di luar lebih kurang 21-22 C. Sejuk tuh. Aku kena lebih berhati-hati memandangkan jalan licin dan jarak penglihatan yang terhad di kawasan berkabus.
Kali ini untuk kesekian kalinya aku terserempak dengan gajah di Jalan Timur-Barat. Bukan sekali tapi dua kali. Kecut perut isteri ku dibuatnya. Alhamdullilah semuanya berjalan dengan lancar dan aku dan famili selamat tiba di di kampung jam 2 pagi setelah menempuh perjalanan sejauh 379km.



Oct 22, 2012

The Red Warrior 2012 - Gomo Kelate Gomo

 
 
Dalam sibuk menyiapkan "final touch" untuk majlis konvo tahun ni aku masih sempat mengikuti perkembangan bolasepak akhir Piala Malaysia di antara Kelantan vs ATM. Walaupun aku bukan peminat bolasepak fanatik tetapi aku mengikuti perkembangan pasukan The Red Warrior dari pasukan yang tidak ada apa-apa kepada pasukan yang digeruni di Malayia. Syabas kepada Tan Sri Anuar Musa & KAFA di atas pengurusan yang begitu sistematik, teratur dan berjaya membentuk satu pasukan yang terbaik di Malaysia sekarang ini.
 
 
 
Kelantan menjadi pasukan paling unggul di Malaysia tahun ini apabila sapu bersih tiga piala paling berprestij di Malaysia iaitu Piala FA, Liga Super dan yang terbaru ialah Piala Malaysia.. Lebih membanggakan, Kelantan cemerlang juga dalam Piala AFC apabila berjaya sehingga ke peringkat suku akhir walaupun pengalaman pertama kali bertanding. Tidak cukup dengan itu, Kelantan juga berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa kalah sepanjang musim di stadium keramat, Stadium Sultan Muhammad Ke-4. Satu rekod yang bukan mudah untuk dilakukan. Tidak mengambil kira lagi ranking Kelantan dalam kelab bolasepak dunia yang terus mendaki anak tangga sehingga kini berada di ranking 142 terbaik dunia.
 
 
 
Bolasepak satu-satunya medium yang dapat menyatukan semua tanpa mengira fahaman politik di Kelantan yang terkenal dengan negeri "Bulan".  Ini dapat dilihat disetiap perlawanan yang melibatkan pasukan TRW. Lautan merah sentiasa memenuhi stadium di setiap perlawanan sama ada home atau away. Kemeriahan lautan merah ini memang terkenal kerana jarang pasukan-pasukan lain yang mempunyai penyokong-penyong yang begitu fanatik seperti penyong TRW ini.
 
 
Semoga Kelantan berjaya terus mengekalkan kecemerlangan untuk musim-musim akan datang. Tahniah Kelantan untuk tahun paling cemerlang ini.
 
 

Sep 26, 2012

Selamat Hari Raya Aidiladha

 
Sempena Aidiladha pada tahun ini, bonda berhasrat untuk melihat semua ahli keluarga berjubah di pagi Aidiladha. Dari yang kecil hingga yang paling tua, semuanya berjubah. Look very nice. Foto rasmi hari raya diambil seperti biasa tetapi kekurangan ahli keluarga dari Klang yang tak balik ke kampung raya ni.

Selamat Hari Raya Aidiladha untuk semua

Aug 16, 2012

Pra Raya

Ramadhan akan sampai ke penghujungnya dalam beberapa hari lagi dan Syawal yang dinanti-nanti akan tiba. Sepatutnya Ramadhan yang akan meninggalkan kita di tangisi tetapi dirai-raikan. Sudah akhir zaman kot.
 
Aidilfitri kali ni merupakan Aidilfitri pertama aku tampa bonda di sisi. Beliau akan menyambut Aidilfitri di kota suci Mekah Al-Mukarammah. Rasa sayu je rasa hati ni. Walaupun umur sudah menginjak ke 30-an tapi kucupan mesra dari bonda tersayang di pagi Aidifitri masih di tagih. Hasrat bonda untuk berpuasa dan meraikan Aidilfitri di sana tercapai. Alhamdullillah.
 
Kalau ikut giliran beraya aku akan beraya di rumahku di Pengkalan Chepa tapi disebabkan bonda tiada aku akan beraya di rumah isteriku di Kampung Kota. Sudah rezeki isteriku dapat beraya dirumahnya 2 kali berturut-turut.
 
 
Tahun ni aku tidak dapat menjamah biskut wajib bonda kuih siput dan biskut Semperit / Dahlia (anak-anak aku memanggil biskut ni biskut Upin & Ipin) yang menjadi trademark bonda. Bukan tidak boleh dibeli tapi rasanya tidak sama dengan hasil buatan bonda. Adikku berjanji akan memasak satu lagi hidangan wajib resepi bonda - Sate Bara.
 
Harap-harap berjayalah. Su Yan boleh...
 
 

Iklan Hari Raya Petronas 2012 - Strangers


 
Iklan PETRONAS tahun ini meneruskan tradisi cemerlangnya dalam menterjemahkan mesej yang tersendiri. Aku memang sentiasa mengikuti iklan-iklan musim perayaan PETRONAS yang unik yang dimulakan oleh pengarah prolifik Allahyarham Yasmin Hamid.

Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk semua

Jun 16, 2012

Selamat Hari Bapa


Duhai ayah,
Sekiranya kau kini hadir di hadapan mataku.
Akan ku peluk dirimu erat, betapa anakanda ini cukup merinduimu.
Sesungguhnya diri ini cukup kesal, kerna tidak bisa menikmati kejayaan hari ini bersamamu.
Setiap titik peluhmu yang gugur, tidak akan mampu ku balas jua
Kerna tiap titik peluhmu yang gugur, bagaikan titisan hujan yang turun membasahi bumi
Menumbuhkan setiap tanaman dan pelbagai kehidupan di atas bumi
jasanya bukan kepalang, walau hanya setitik air yang tiada rupa

Tika anakmu sedang lena tidur, kau bangkit awal untuk ke kerja,
Tika anakmu seronok di bilik air dengan bermandikan air hangat,
kau pasrah bermandikan air tadahan hujan di luar rumah,
Tika anakmu meminta wang saku ke sekolah, kau berlapar tanpa makan tengahari yang enak,

Tiada yang mampu ku lakukan disaat ini selain mendoakan dirimu,
Kalaulah ku punyai pahala seluas Lautan China Selatan,
pasti akanku berikan padamu seluas Lautan Pasifik.
Sebagai deposit pahala yang mampu ku hadiahkan.

Ya Allah Ya Tuhanku,
Tuhan yang telah menciptakan seorang ayah
Ku menadah tangan ini agar segala dosa ayahku diampunkan
Kau himpunkanlah ayahandaku ini dikalangan orang-orang yang beriman

Al-Fatihah.
Semoga Ayahanda berbahagia di sana dan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Amin


Jun 11, 2012

Kuala Terengganu

Penghujung cuti sekolah lepas aku baru dapat memenuhi impian isteri tersayang untuk bercuti di Kuala Terengganu. Perjalanan ke Kuala Terengganu menjadi dekat disebabkan aku bertolak ke sana dari kampung di Kota Bharu. Untuk ke sana aku memilih untuk mengikut jalan pantai. Pemandangan kampung nelayan dan pantai di sepanjang perjalanan tu memang sangat cantik.  Nampak begitu tenang dan damai sekali.

Bandar Seri Iskandar - Kota Bharu :371km
Kota Bharu - Kuala Terengganu : 168km
Kuala Terengganu - Kuantan - Bandar Seri Iskandar: 654km


Negeri Terengganu di anugerahkan dengan pantai-pantai yang sangat cantik. Makanannya tidak banyak beza dari negeri Kelantan.




Taman Tamadun Islam

Mar 23, 2012

Kulim, Kedah


Aku mendapat posting untuk ke UniKL MSI di Kulim Kedah. Taklah jauh sangat perjalanan ke sana sekadar 172km. Ini kali pertama aku ke sana. Bandar Kulim Kedah terbahagi kepada dua bahagian iaitu badnar lama dan bandar baru. Kawasan ini berkembang cepat dengan adanya kawasan perindutrian Kulim dan beberapa Institut pengajian Tinggi. Tune Hotel pun ada membuka cawangannya di kawasan ini. Itu Menunjukkan potensi yang bagus untuk pembangunan Kulim.

Aku menginap di Hotel Seri Malaysia Kulim, satu-satunya hotel terbaik di kawasan ini. Sebelum ini aku banyak mendengar berita-berita yang kurang disenangi berkenaan servis di Rangkaian Hotel Seri Malaysia tapi Alhamdullilah sepanjang menginap di sana semuanya OK. Servis yang disediakan di sana sepatutnya boleh diperbaiki lagi terutama kepelbagaian menu sarapan pagi dan servis tambahan lain.

Kali ini aku ke Kulim untuk mewakili UTP ke Karnival Pendidikan Kerjaya. IPTA, IPTS & Kemahiran. Kira-kiranya untuk "menjual" nama UTP kepada bakal-bakal pelajar yang berpotensi. Sambutan cukup baik sepanjang aku di sana. Kadang-kadang tak menang tangan dibuatnya. Rata-ratanya pelajar sudah mengenali UTP cuma pertanyaan banyak bertumpu kepada kelayakan masuk dan kos pengajian. Umum masih menganggap kelayakan masuk ke UTP terlampau tinggi jadi mereka takut untuk memohon dengan keputusan yang tak begitu bagus.

Aku sempat meronda-ronda di sekeliling bandar untuk melihat suasana bandar Kulim. Bahagian bandar lama begitu menarik untuk diterokai. Banyak bangunan lama masih dikekalkan. Jika di jaga dengan baik bangunan-bangunan ini boleh menjadi tumpuan pelancong sepertimana bangunan-bangunan lama di Kota SIngapura.



Mar 19, 2012

Percutian keluarga di Jakarta, Indonesia

Selepas berpenat lelah menguruskan kenduri my beloved little sister aku mengambil kesempatan membawa famili aku bercuti di Jakarta, Indonesia. Percutian selama 3 malam 2 hari.




Jakarta, ibu negara Indonesia memang satu kota yang besar dan dipenuhi oleh orang pada setiap masa. Berkepadatan penduduk sebanyak10,187,599, dapat kita bayangkan kemeriahan kota metropolitan ini. Kalau di lihat dengan mata kasar dapat dilihat perbezaan yang nyata di antara yang kaya dengan yang miskin. Golongan miskin dapat di lihat dimana-mana. Bahkan ditengah-tengah kesesakan (macet) jalanraya dapat dilihat pengemis dan penjual yang datang ke kereta untuk mengemis dan mejual barangan mereka. Boleh dikatakan mereka bekerja kuat untuk mencari rezeki di sini disebabkan persaingan antara satu sama lain dan jumlah penduduk yang padat di Kota Jakarta. Satu lagi dapat dilihat di jalan raya, jumlah motorsikal yang banyak mendominasi jalanraya dan bagi pemandu kereta, lori dan teksi pula hon menjadi satu kebiasaan. Satu lorong khas di khususkan untuk laluan bas (Trans Jakarta). Dan walaupun jalan begitu sesak mereka tidak akan memasuki laluan tersebut.



Di Jakarta aku dan famili memilih hotel penginapan di kawasan Mangga Besar. Dari bilik hotel aku dapat melihat dengan jelas Pelabuhan Tanjong Priok. Di sini aku boleh digolongkan dalam golongan jutawan (rupiah) hehehehehe.



Kami sempat melawat Monas (Monumen Nasional), Masjid Istiqlal, Stadium Gelora Bung Karno. Isteriku mengambil kesempatan untuk shopping sakan di sini terutama di pusat membeli belah "Tanah Abang". Harga di sini banyak berbeza dengan harga di Malaysia.


Sepanjang kami di Jakarta, kami ditemani kawan lama aku iaitu Abdul Rahman. Dia banyak membantu untuk menguruskan percutian kami dan tawar menawar ketika membeli belah. Terima kasih Adik Oman.



Mar 5, 2012

Trip Kerja sambil melancong ke Port Dickson


Hujung minggu lepas aku berpeluang ke Port Dickson. Bukan untuk berjalan-jalan tapi untuk kerja. Aku ke sana untuk menyertai Program Jom Masuk "U" peringkat Negeri Sembilan. Tarikh program kena pada hujung minggu jadi aku ambil pelunag untuk bawa sama famili ke sana.



Kami menginap di Regency Tanjung Tuan Hotel. Dapat pula bilik yang berkonsepkan apartment satu bilik, jadi selesalah sikit anak-anak bermain semasa aku bekerja.





Program habis jam 5 petang jadi sempatlah aku bawa famili meronda-ronda sekitar Teluk Kemang dan mandi pantai yang berdekatan dengan hotel penginapan. Anak-anak bila dapat main pasir dan main air macam dah tak ingat dunia. Rasa gembira sangat bila lihat gelagat mereka. Hilang rasa letih seharian bekerja.


Feb 10, 2012

Tazkirah Jumaat: Langkah menzahirkan cinta

Kali ini tazkirah jumaat membawakan artikel yang saya pernah saya baca di internet berkenaan cinta. Banyak dikalangan kita hanya bercinta sebelum kahwin dan selepas berkahwin cinta yang dipupuk menjadi hambar. Ini adalah konsep yang salah. Sepatutnya selepas kahwin bibit-bit cinta kita yang halal menjadi lebih manis dan mekar sejajar dengan hubungan suci yang di pupuk oleh suami & isteri. Sama-samalah kita menzahirkan cinta kepada pasangan masing-masing. Semoga hubungan kita akan berkekalan di dunia & akhirat.

 “ Barangsiapa diberi Allah seorang isteri yang solehah,sesungguhnya telah ditolong separuh agamanya dan hendaklah bertaqwa kepada Allah separuh lainnya ”


Begitulah kata-kata Nabi s.a.w. dalam hadisnya yang ringkas tetapi mengandungi intipati yang cukup bermakna buat para isteri yg di sebut sebagai ” Qurrota A’yun ” iaitu penyejuk mata memandang bagi suami.Bila mana di terikatnya ijab kabul antara pasangan suami isteri maka telah sempurnalah sebahagian dari agamanya.Dan bermulalah pelayaran bahtera rumah tangga.

Bagi mereka yang bergelar isteri,gelaran " isteri " sebenarnya adalah cukup sinonim bagi mereka dan amat bermakna dalam erti bergelar sebagai isteri yg mukminah dan dalam masa yg sama menjadi isteri yg solehah.Seperti yang dilakarkan oleh Nabi s.a.w dalam hadisnya

" Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah "

Bagi wanita yang Allah berikan keistimewaan kepada mereka sebagai seorang isteri,Islam mengajar kepada kita bagaimana seorang isteri harus taat dan berbakti kepada suaminya.Dan begitu juga sebaliknya bagi seorang suami melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isterinya dengan baik sebagai amanah yg Allah taklifkan pada dirinya sebagai pemimpin rumah tangga. 
1. Panggilan suami isteri. Gunakan panggilan yang baik. Isteri memanggil suami dengan perkataan ‘abang, honey, darling, sayang,’ Suami pula memanggil isteri dengan panggilan ‘honey, darling, sayang,’ atau nama manja. Nabi s.a.w. memanggil A’ishah dengan ‘Humairaa’ yang boleh diertikan ‘si merah jambu’. Elakkan panggilan ‘ayahnya, bapanya, abahnya, papa, daddy’ dan seumpamanya. Elakkan ‘maknya, mama’ dan sebagainya. Ini berlaku selepas pasangan mendapat anak. Panggilan ini kadang-kadang bukan sahaja digunakan di hadapan anak bahkan semasa pasangan berdua sahaja. Jangan jadikan panggilan ‘darling’ dan ‘sayang’ di awal perkahwinan, tetapi di akhir perkahwinan ’pinggan dibaling senduk melayang’.



2. Bantu-membantu. Realiti kehidupan hari ini kedua-dua suami isteri bekerja. Waktu pejabat adalah dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Isteri akan bekerja semula sebagai surirumah seperti memasak, membasuh baju, mengemas rumah dan mengurus anak. Alangkah baiknya jika suami turut membantu kerja-kerja tersebut. Apabila ditanya tentang kerja Nabi s.a.w. di rumah, A’ishah berkata: “Adalah Nabi berkhidmat untuk isterinya (membantu isterinya dalam kerja-kerja rumah). Apabila terdengar azan, baginda keluar”. (Riwayat Bukhari)


 
3. Saling berkomunikasi dan berhubung. Komunikasi amat penting. Berbual dan bertanya khabar adalah satu bentuk komunikasi. Penggunaan SMS dan sebagainya amat baik. Hantarlah mesej tertentu seperti jenaka, teka-teki, cerita seks yang nakal dan sebgainya. Hubungan tanpa komunikasi adalah hubungan yang hambar. Lebih banyak kita berkomunikasi lebih banyak kita memahami. Tetapi waspada...jangan terlebih berkomunikasi hingga bertukar menjadi benci.



4. Hadiah. Hadiahkanlah sesuatu kepada pasangan anda sempena hari keramaian seperti hari ibu, hari pekerja, hari raya atau hari minggu. Hadiah akan mewujudkan kasih sayang. Berilah hadiah nescaya kamu pasti akan kasih-mengasihi. Hadiah tidak semestinya mahal. Yang penting keikhlasan dan penghargaan. Membeli bunga yang berharga RM3 pun sudah memadai.

5. Membuat kejutan. Contohnya suami mengajak isteri makan di tempat tertentu atau sebaliknya pada waktu yang sesuai seperti hari minggu.


 
6. Menjaga lidah agar tidak bercakap perkara yang tidak sesuai. Mulut murai, mulut ‘laser’ dan mulut celupar adalah perkara yang mesti dielakkan. Ada kemungkinan kata-kata akan menikam pasangan anda dan menyedihkannya. Disebut dalam hadis bahawa Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah bercakap perkara keji.


 
7. Memberi galakan terhadap minat pasangan atau hobinya. Salah satu kaedah memberi galakan ialah menyediakan ruang untuk pasangan melakukan aktivitinya, membeli barang kegemarannya atau melibatkan diri dengan hobi tersebut. A’ishah, isteri Nabi Muhammad s.a.w. ingin melihat orang Habsyah bermain. Nabi s.a.w. bersama A’ishah dan menemaninya hingga A’ishah berasa jemu. A’ishah berkata yang bermaksud: “Aku melihat Nabi s.a.w. melindungi aku dengan kain selendangnya, sedangkan aku ketika itu sedang melihat orang Habsyah bermain di masjid hinggalah aku berasa jemu...” (Riwayat Bukhari). Jangan larang pasangan anda melakukan aktiviti kesukaannya. Ada kemungkinan pasangan anda akan menghabiskan masa yang terlalu lama hingga mengabaikan tanggungjawab atau menghabiskan wang yang banyak dengan aktivitinya. Anda boleh berbincang dengan baik bagi mengatasi tabiat buruk itu.



8. Ucapan tanda penghargaan. Jangan lupa mengucapkan terima kasih, ucapan tahniah, ucapan takziah dan sebagainya.


 
9. Menghargai pemberian pasangan. Jangan dilihat pada kualiti atau harga pemberian itu, tetapi pandanglah pada hati yang ikhlas yang menghadiahkan benda tersebut. Yang lebih penting adalah yang tersirat, bukan yang tersurat. Jaga pemberian tersebut dengan baik. Jika tiada hadiah berbentuk material, ucapan sudah memadai......