Dec 28, 2012

Selamat Berpisah kawan-kawanku

Hari ni diadakan majlis kecil, majlis perpisahan untuk tiga sahabat baik ku yang akan bertukar ke jabatan lain dan juga bertukar kerja; En. Padil, Kak Hanuzah dan Siti.


Tiga nama yang sudah sebati  dan tonggak utama selama ini di dalam jabatan aku sekarang. En. Padil akan naik pangkat dan berpindah ke jabatan lain. Old wiseman yang berdedikasi dan komited dalam kerja. Beliau telah meletakkan benchmark yang tinggi dalam semua perkara yang beliau lakukan.


Begitu juga dengan Kak Hanuzah, Otai jabatan. Dia dianggap manual bergerak terutama semasa majlis konvokesyen. Seorang yang begitu komited dalam kerja dan penganjur utama untuk acara makan-makan jabatan. Mulut nya kecoh tapi hatinya baik. Hehehehehe

Siti, orang dalam yang serba boleh. Seorang yang workaholic dan ceria. Geng breakfast di kedai mamak. Ermmm dia akan bertukar kerja dan berpindah ke Kuala Lumpur mengikuti suami yang tersayang.

Aku banyak belajar dari tiga sahabat-sahabat ini. Yang banyak mengajar sejak aku mula bertapak di Jabatan. Semoga semua maju jaya di jabatan yang baru dan juga tempat kerja baru.



Ya Allah Ya Tuhan Kami
Kami bermohon padaMU iman yang sempurna

Keyakinan yang benar
hati yang khusyuk
Lidah yang selalu berzikir
Yang selalu menyebut namaMU
rezeki yang luas, halal & baik
Serta taubat nasuha.

Pimpinlah kami Ya Allah
Kepada jalan yang KAU redhai
Semoga kami dapat bekerja dengan penuh tanggungjawab
Dan ikhlas dalam segala urusan
Pada sepanjang masa

Dan lindungilah kami
segala perkara yang engkau murkai
perkukuhkan iman kami Ya Allah

Ya Allah ya Rahman
Ya Rahim Ya Karim

Permudahkanlah segala urusan kami
Berkatilah usaha kami ini
Dalam majlis perpisahan ini
Majlis perpisahan sahabat kami
Rahmatilah ia dan keluarganya

Dalam kebahagiaan
Beriman serta beramal soleh
Perbaikilah hubungan antara kami
Dan mesrakanlah diantara hati-hati kami
Dan tunjukkanlah kami jalan yang selamat
Dan lepaskanlah kami dari kegelapan
kepada cahaya
Dan hindarilah kami dari segala yang tersembunyi
Amin Ya Rabbal Alamin









Dec 26, 2012

Selamat Hari Ulangtahun ke 2 My little Princess

Sekejap je rasa berlalu dan hari ni merupakan hari ulangtahun ke-2 my little princess Nor Zara Aleesha. Rasa macam baru sahaja lagi my little princess lahir. Kalau dulu masa dilahirkan dia kurang berat tapi Alhamdullilah sekarang dialah yang paling "bersemangat" badannya kalau nak dibandingkan dengan kakak dan abangnya. Mulut pun bertambah petah, sentiasa aktif dan sentiasa berlari ke sana ke mari di rumah. Sekarang ni dia dah pandai mengusik kakak dan abangnya.
 



Selamat Hari Ulangtahun My Little Princess - Nor Zara Aleessa dari Abah, Mama, Kak Bellah & Abang Aleam. Semoga menjadi anak yang mendengar kata dan solehah. Aminn


Nov 16, 2012

ICM "Terima Kasih Semua"



Aku kongsikan klip video di atas untuk tatapan semua. Dalam maksudnya.
Anyway lagu dan liriknya bagus dan bermakna dan catchy. Bukan sahaja menarik bagi orang dewasa tapi juga bagi kanak-kanak. My little princess Baby Zara, akan terus berhenti bermain dan tercegat khusyuk menghayati. Bila je habis video klip ni terus je dia sambung balik main.  

Nov 3, 2012

Satu perjalanan

Esok akan bermulalah cuti akhir tahun bagi tahun ini. Cuti panjang yang ditunggu-tunggu oleh semua pelajar sekolah rendah dan menengah.

Teringat aku dulu-dulu bagaimana aku dan adik beradik menghabiskan masa sepanjang hari di musim cuti. Sebagai anak seorang guru, aku dan adik beradik lain tidaklah bebas bermain sepanjang hari sepertimana kanak-kanak lain. Ada jadual yang telah ditetapkan oleh ayahanda sepanjang musim cuti. Beliau seorang yang mementingkan displin dan sesiapa yang tidak mengikutinya akan mendapat "hadiah" istimewa. Ini bukan bermakna kami tidak dapat menikmati nikmat cuti panjang ni tapi kami menikmatinya dengan cara kami yang tersendiri sesuai dengan jadual khas yang ditetapkan oleh ayahanda.

Sempena cuti panjang kali ini famili aku akan bercuti di kampung selama 3 minggu (lama tu). Pasti aku akan merindui riuh rendah dan gelagat-gelagat anak-anak tersayang. Selalunya bila pulang dari pejabat anak-anak akan berebut-rebut menceritakan apa yang mereka buat pada hari tu.

Perjalanan pulang ke kampung dari Sri Iskandar ke Kota Bharu akan mengambil masa lebih kurang 6 jam perjalanan. Satu perjalanan yang panjang melalui Jalan Timur-Barat yang mencabar, yang penuh dengan bengkang bengkok, turun naik bukit dan pemandangan indah hutan di sepanjang jalan (kalau malam ermmm tak nampak apalah jawabnya). Aku mengambil keputusan untuk bertolak ke kampung dengan lebih awal dari yang dirancangkan iaitu selepas solat Maghrib. Letih badan begitu terasa memandangkan di siang harinya kudrat dan tenaga aku dihabiskan di pejabat.



  
Cuaca tak berapa baik sejak dari awal perjalanan lagi. Hujan renyai dan kadang kala lebat di beberapa kawasan. Kira OKlah tu. Cuaca di Puncak Titiwangsa berkabus tebal dek hujan dan kesejukan yang melanda. Bila aku lihat suhu di luar lebih kurang 21-22 C. Sejuk tuh. Aku kena lebih berhati-hati memandangkan jalan licin dan jarak penglihatan yang terhad di kawasan berkabus.
Kali ini untuk kesekian kalinya aku terserempak dengan gajah di Jalan Timur-Barat. Bukan sekali tapi dua kali. Kecut perut isteri ku dibuatnya. Alhamdullilah semuanya berjalan dengan lancar dan aku dan famili selamat tiba di di kampung jam 2 pagi setelah menempuh perjalanan sejauh 379km.



Oct 22, 2012

The Red Warrior 2012 - Gomo Kelate Gomo

 
 
Dalam sibuk menyiapkan "final touch" untuk majlis konvo tahun ni aku masih sempat mengikuti perkembangan bolasepak akhir Piala Malaysia di antara Kelantan vs ATM. Walaupun aku bukan peminat bolasepak fanatik tetapi aku mengikuti perkembangan pasukan The Red Warrior dari pasukan yang tidak ada apa-apa kepada pasukan yang digeruni di Malayia. Syabas kepada Tan Sri Anuar Musa & KAFA di atas pengurusan yang begitu sistematik, teratur dan berjaya membentuk satu pasukan yang terbaik di Malaysia sekarang ini.
 
 
 
Kelantan menjadi pasukan paling unggul di Malaysia tahun ini apabila sapu bersih tiga piala paling berprestij di Malaysia iaitu Piala FA, Liga Super dan yang terbaru ialah Piala Malaysia.. Lebih membanggakan, Kelantan cemerlang juga dalam Piala AFC apabila berjaya sehingga ke peringkat suku akhir walaupun pengalaman pertama kali bertanding. Tidak cukup dengan itu, Kelantan juga berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa kalah sepanjang musim di stadium keramat, Stadium Sultan Muhammad Ke-4. Satu rekod yang bukan mudah untuk dilakukan. Tidak mengambil kira lagi ranking Kelantan dalam kelab bolasepak dunia yang terus mendaki anak tangga sehingga kini berada di ranking 142 terbaik dunia.
 
 
 
Bolasepak satu-satunya medium yang dapat menyatukan semua tanpa mengira fahaman politik di Kelantan yang terkenal dengan negeri "Bulan".  Ini dapat dilihat disetiap perlawanan yang melibatkan pasukan TRW. Lautan merah sentiasa memenuhi stadium di setiap perlawanan sama ada home atau away. Kemeriahan lautan merah ini memang terkenal kerana jarang pasukan-pasukan lain yang mempunyai penyokong-penyong yang begitu fanatik seperti penyong TRW ini.
 
 
Semoga Kelantan berjaya terus mengekalkan kecemerlangan untuk musim-musim akan datang. Tahniah Kelantan untuk tahun paling cemerlang ini.
 
 

Sep 26, 2012

Selamat Hari Raya Aidiladha

 
Sempena Aidiladha pada tahun ini, bonda berhasrat untuk melihat semua ahli keluarga berjubah di pagi Aidiladha. Dari yang kecil hingga yang paling tua, semuanya berjubah. Look very nice. Foto rasmi hari raya diambil seperti biasa tetapi kekurangan ahli keluarga dari Klang yang tak balik ke kampung raya ni.

Selamat Hari Raya Aidiladha untuk semua

Aug 16, 2012

Pra Raya

Ramadhan akan sampai ke penghujungnya dalam beberapa hari lagi dan Syawal yang dinanti-nanti akan tiba. Sepatutnya Ramadhan yang akan meninggalkan kita di tangisi tetapi dirai-raikan. Sudah akhir zaman kot.
 
Aidilfitri kali ni merupakan Aidilfitri pertama aku tampa bonda di sisi. Beliau akan menyambut Aidilfitri di kota suci Mekah Al-Mukarammah. Rasa sayu je rasa hati ni. Walaupun umur sudah menginjak ke 30-an tapi kucupan mesra dari bonda tersayang di pagi Aidifitri masih di tagih. Hasrat bonda untuk berpuasa dan meraikan Aidilfitri di sana tercapai. Alhamdullillah.
 
Kalau ikut giliran beraya aku akan beraya di rumahku di Pengkalan Chepa tapi disebabkan bonda tiada aku akan beraya di rumah isteriku di Kampung Kota. Sudah rezeki isteriku dapat beraya dirumahnya 2 kali berturut-turut.
 
 
Tahun ni aku tidak dapat menjamah biskut wajib bonda kuih siput dan biskut Semperit / Dahlia (anak-anak aku memanggil biskut ni biskut Upin & Ipin) yang menjadi trademark bonda. Bukan tidak boleh dibeli tapi rasanya tidak sama dengan hasil buatan bonda. Adikku berjanji akan memasak satu lagi hidangan wajib resepi bonda - Sate Bara.
 
Harap-harap berjayalah. Su Yan boleh...
 
 

Iklan Hari Raya Petronas 2012 - Strangers


 
Iklan PETRONAS tahun ini meneruskan tradisi cemerlangnya dalam menterjemahkan mesej yang tersendiri. Aku memang sentiasa mengikuti iklan-iklan musim perayaan PETRONAS yang unik yang dimulakan oleh pengarah prolifik Allahyarham Yasmin Hamid.

Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk semua

Jun 16, 2012

Selamat Hari Bapa


Duhai ayah,
Sekiranya kau kini hadir di hadapan mataku.
Akan ku peluk dirimu erat, betapa anakanda ini cukup merinduimu.
Sesungguhnya diri ini cukup kesal, kerna tidak bisa menikmati kejayaan hari ini bersamamu.
Setiap titik peluhmu yang gugur, tidak akan mampu ku balas jua
Kerna tiap titik peluhmu yang gugur, bagaikan titisan hujan yang turun membasahi bumi
Menumbuhkan setiap tanaman dan pelbagai kehidupan di atas bumi
jasanya bukan kepalang, walau hanya setitik air yang tiada rupa

Tika anakmu sedang lena tidur, kau bangkit awal untuk ke kerja,
Tika anakmu seronok di bilik air dengan bermandikan air hangat,
kau pasrah bermandikan air tadahan hujan di luar rumah,
Tika anakmu meminta wang saku ke sekolah, kau berlapar tanpa makan tengahari yang enak,

Tiada yang mampu ku lakukan disaat ini selain mendoakan dirimu,
Kalaulah ku punyai pahala seluas Lautan China Selatan,
pasti akanku berikan padamu seluas Lautan Pasifik.
Sebagai deposit pahala yang mampu ku hadiahkan.

Ya Allah Ya Tuhanku,
Tuhan yang telah menciptakan seorang ayah
Ku menadah tangan ini agar segala dosa ayahku diampunkan
Kau himpunkanlah ayahandaku ini dikalangan orang-orang yang beriman

Al-Fatihah.
Semoga Ayahanda berbahagia di sana dan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Amin


Jun 11, 2012

Kuala Terengganu

Penghujung cuti sekolah lepas aku baru dapat memenuhi impian isteri tersayang untuk bercuti di Kuala Terengganu. Perjalanan ke Kuala Terengganu menjadi dekat disebabkan aku bertolak ke sana dari kampung di Kota Bharu. Untuk ke sana aku memilih untuk mengikut jalan pantai. Pemandangan kampung nelayan dan pantai di sepanjang perjalanan tu memang sangat cantik.  Nampak begitu tenang dan damai sekali.

Bandar Seri Iskandar - Kota Bharu :371km
Kota Bharu - Kuala Terengganu : 168km
Kuala Terengganu - Kuantan - Bandar Seri Iskandar: 654km


Negeri Terengganu di anugerahkan dengan pantai-pantai yang sangat cantik. Makanannya tidak banyak beza dari negeri Kelantan.




Taman Tamadun Islam