Apr 6, 2009

Berehat di Pulau Pangkor


My little princess tak sabar nak naik feri

Buat kesekian kalinya aku dan keluarga bercuti di Pulau Pangkor. Kali ni aku ke sana atas permintaan isteriku yang sudah lama tak berehat di tepi pantai. Bukannya jauh pun nak ke sana. Dari Sri Iskandar ke pekan Lumut lebih kurang 30 minit kemudian naik feri dari jeti Lumut ke P. Pangkor 15 minit. Aku membuat persediaan seperti biasa, booking di Havana di Teluk Nipah dan apa lagilah cuti-cuti Malaysia.

My little prince
Alhamdullilah walaupun dalam seminggu dua ni hujan lebat di waktu petang tapi pada pagi Sabtu cuaca cerah. Cuma pada malamnya je gerimis. Seronok juga dapat berehat tanpa perlu fikir pasal kerja-kerja yang berlambak dan tekanan untuk menyiapkannya.
Tengah seronok main pasir

Suasana di Teluk Nipah pada waktu pagi, sesuai untuk berendam kerana ombaknya yang mendamaikan

Family foto album

Pekan Lumut yang sudah banyak berubah wajahnya

Apr 3, 2009

Tazkirah Jumaat: Kisah Penjual Tempe

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi.Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib,bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Ya Allah , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin"

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin".

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.
Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.


Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.
Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Ya Allah,berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.

"Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi." Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya"Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?" Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England,si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan...

Moral:

Pertama:
Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.


Kedua:
Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.


Ketiga :
Tiada yang mustahil bagi Tuhan.


Keempat :
Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU , menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan ke arah kebaikan.


Apr 2, 2009

F1 @ UTP

Tahun ni buat julung-julung kalinya UTP dengan kerjasama PETRONAS Motorsports menganjurkan satu program untuk mendedahkan kepada warga sekitar berkenaan dunia permotoran. Lebih kurang 500 pelajar sekolah menengah dijemput sama menyertai program sehari ini. Anatar pengalaman paling menarik ialah peluang untuk bersemuka "face to face" dengan dua pemandu F1 BMW Sauber PETRONAS iaitu Nick Heidfield dan Robert Kubica. Meriah hari tu dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh PETRONAS Motorsport. Jalan-jalan di sekitar kampus pula di ubah menjadi litar F1, kira ala-ala litar Monaco lah tu. Semasa sesi pandu uji mereka mengunakan kereta lain bukan kereta F1 mungkin kerana keadaan jalan yang tak sesuai untuk memecut .



Kereta yang digunakan semasa pandu uji di UTP







Dalam perjalan pulang ke pejabat aku terserempak dengan kedua-dua pemandu di tepi tasik tengah menunggu giliran untuk di interview oleh BBC. Apalagi kami ambil kesempatan bergambar dengan mereka. Walaupun nampak letih tapi mereka melayan kami dengan baik. Dah namanya selebriti kan.




Crew BBC tengah interview Heidfield


Kubica tunggu giliran

Taklah tinggi sangat Heidfield nih



Yang sorang nih memang tinggi



Selepas habis interview mereka memandu sendiri BMW untuk terus pulang ke Kuala Lumpur.
Seronok jugak kalau acara ni jadi acara tahunan yea.

Mar 29, 2009

Earth Hour 2009


Tahun ini UTP dan OPU PETRONAS yang lain mengambil bahagian di dalam kempen Earth Hour yang berlangsung pada 28 Mac 2009 dari pukul 8.30 malam sehingga 9.30 malam. Kawasan kampus UTP yang selalunya meriah dengan cahaya lampu buat pertama kalinya gelap gelita.

Lokasi: Pintu masuk utama UTP



Lokasi: Totem Pole UTP



Lokasi: Masjid An Nur, UTP


Lokasi : Kompleks Cancellor UTP

Mar 28, 2009

Bila isteri sibuk

Kalau selalunya aku jer yang sibuk memanjang tapi kali ni pada hari ni hari sabtu giliran isteri ku pulak sibuk bermesyuarat. Isk isk isk...


Kali ni situasi berlainan kalau selalunya aku yang baby sit tapi bila ada bibik nih aku pulak kena kluar rumah sementara menunggu isteri ku habis meeting. bukannya apa tapi nak mengelakkan perkara yang tak diingini berlaku. Nauzubillahimin zalik.
Jadi aku cuba penuhkan aktiviti aku dari pukul 8 pagi sehinggalah pukul 12.30 tengahari. Selepas menghantar isteri ke sekolah aku memandu terus ke bandar Kuala Kangsar kira-kira 20 minit dari Tasik Raban. Perkara pertama cari sarapan pagi. Selepas pusing-pusing cari tempat best aku ambil keputusan untuk singgah di warung berdekatan dengan bus station dan juga pasar besar Kuala Kangsar. Menu aku simple; Roti Telur dan teh tarik. Boleh tahan jugak Roti Telur mamak nih, lain kali boleh datang lagi nih. Aku enjoy sarapan pagi aku sambil membaca The Star.





Selepas makan kemana pulak nak pergi nih ya. banyak kedai masih tutup lagi. Ermmmm aku memandu terus ke Bukit Chandan dan singgah sekejap di Galeri Sultan Azlan Syah. Habiskan masa kat sini lebih kurang sejam kemudian terus memandu balik ke Tasik Raban. Aku memandu 50-60km/j taknak cepat sampai.


Selepas ambil isteri aku balik rehat sekejap kat rumah sebelum meneruskan rancangan kami ke Jusco Ipoh dan balik ke Sri Iskandar. Inilah aktiviti aku untuk hari nih. Memandu tanpa tahu kemana nak dituju

Mar 27, 2009

Tazkirah Jumaat: Pisang dan hati


Hari ni aku nak berkongsi satu tazkirah Jumaat menarik yang aku terima dari Ustaz Zuriat dari Unit Pentadbiran Masjid UTP. Harap kawan-kawan dapat teladan dari cerita ni. Sama-sama kita renungkan

Maryam, guru kelas Tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci. Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastic berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci. "Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya" beritahu Cikgu Maryam. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg. Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk . Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.


Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Maryam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa."Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Mayam. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk."Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu" beritahu Cikgu Maryam. Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik darpada membenci.


Moralnya, jangan letak pisang dalam beg. Jangan simpan kebencian, dendam kesumat dan apa-apa yang mazmumah dalam hati. Macam pisang yg makin membusuk, begitu juga hati.

Mar 26, 2009

Aku betul-betul tersentuh bila melihat video yang dihantar oleh teman sekerja. Begitu gigih si dia dalam menjalani hidup yang serba kekurangan. Oleh itu kita yang mempunyai segalanya patut bersyukur di atas kurnian Yang Maha Esa

Mar 25, 2009

Hari Rabu yang dinanti

Hari Rabu dan Jumaat adalah hari yang paling aku tunggu-tunggu kerana aku akan pergi menjenguk family aku di Tasik Raban, Lenggong. Inilah cabaran bagi aku sekeluarga bila kami terpaksa duduk berasingan kerana pemohonan pertukaran sayang dari daerah Hulu Perak ke daerah Perak Tengah masih tidak diluluskan lagi. Permohonan keenam baru dihantar minggu lepas. Usaha tangga kejayaan. Amin. Perjalanan ke sana dari Sri Iskandar memakan masa lebih kurang satu jam setengah. Jauh jugak tuh.


Untuk ke sana aku ada 3 route pilihan, samada melalui highway Utara Selatan dan exit di Kuala Kangsar, melalui Manong atau pun melalui Chopin dan Kampung Senggang. Semua ada kelebihan masing-masing. Route pertama aku selalu guna bila aku dari Tasik Raban ke Sri Iskandar kerana aku lebih selesa memecut di highway dari memandu di kampung pada pagi hari. Jika melalui jalan kampong aku terpaksa lebih berhati-hati dengan kanak-kanak yang berjalan ke sekolah pada pagi-pagi hari. Kalau perjalanan petang aku akan pilih samada melalui Manong atau Chopin. Dapat menikmati pemandangan kampong yang tenang dan mendamaikan.

Langit dah mula kelam semenjak aku di Sri Iskandar lagi tanda hujan lebat akan turun pada bila-bila masa saja. Tak sampai 15 minit ketika aku melewati pekan Parit hujan mula turun. Alhamdullilah sejuk sikit muka bumi ni setelah 3 hari panas terik. Kadang-kadang bila panas kita bersungut nak hujan tapi bila hujan kita bersungut nak panas, Sudah lumrah manusia tidak akan pernah puas dengan apa yang diberi.

Perjalanan aku terpaksa di perlahankan sedikit. Dengan jalan berbukit dan bengkang bengkok aku terpaksa extra carefull tambahan lagi dengan jalan yang licin dan hujan lebat yang menghadkan pandangan hadapan.

Pukul 8.15malam aku selamat sampai di Tasik Raban. Letih segera hilang bila terpandang muka-muka keluargaku yang menyambut kedatangan ku.

Mar 20, 2009

Tazkirah Jumaat: Kisah 5 perkara aneh

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqah yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat:-

1. Apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah,
2. Engkau sembunyikan,
3. Engkau terimalah,
4. Jangan engkau putuskan harapan,
5. Larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu, mangkuk emas itu keluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku." Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untukmenyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalananya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa,

Engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.
Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.



Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain.

Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu." Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu."

Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

Mar 14, 2009

Kawan



kata mak,

KAWAN tu ibarat lebah,habis madu sepah dibuang.......

kata abah,

KAWAN tu umpama bunga ros, dipandang cantik dipegang sakit.....

kata atuk,

KAWAN tu seperti air, terus mengalir.....

kata nenek,

KAWAN tu bak bulan, dipuja dan disanjung tp nun jauh di sana....

kate sedare,

KAWAN tu mcm makanan, kawan makan kawan!!

kata abang,

KAWAN tu seperti lembu, mengikut saje ape dikata........

kata kakak,

KAWAN tu tak ubah macam durian, bau je busuk tp sedap dimakan....

kata adik,

KAWAN tu macam biskut, sekejap ade sekejap takde.......

kata aku,

KAWAN tu lah saudara ku tempat aku mengadu kesusahan dan kesempitan

kata aku,

KAWAN tu tak kisahlah camner..

walaupun dia IBARAT LEBAH, UMPAMA BUNGA ROS, SEPERTI AIR, BAK

BULAN, SEPERTILEMBU, TAK UBAH MACAM DURIAN & MACAM BISKUT!!!


dia tetap KAWAN....:)


walaupun kita mempunyai kekasih, tapi

KAWAN tetap paling setia.

walaupun kita punyai harta yg banyak,

KAWAN tetap paling berharga.