Dec 18, 2009

Tazkirah Jumaat: Syukurilah nikmat dan kenalilah nikmat

Aku betul-betul rasa sebak bila membaca email tazkirah dari Ustaz Zuriat. Betapa anugerah anak kepada kita sepatutnya disyukuri bukan dikesali. Selalunya kita akan merasa menyesal bila sesuatu benda itu sudah berlalu pergi tapi ketika di depan mata sedikit pun tidak dihargai. Sama-sama kita ambil iktibar dari kisah ni.

Sesetengah nikmat itu hanya datang sekali, tetapi bersyukur kena selalu.


Ada sepasang suami isteri yang hidup bahagia. Tidak ada kurangnya bagi pasangan yang dilimpahi dengan kemewahan ini kecuali satu, mereka tidak punya anak walaupun telah lama berumah tangga. Sering mereka bercerita tentang betapa indahnya hidup sekiranya punya seorang anak penyejuk mata. Rasa ini bergolak hebat apabila melihat kepada jiran sekeliling yang sentiasa riuh rendah dengan bunyi hilai ketawa anak-anak, kadang-kadang tangisan nyaring.

Apa yang menarik tentang pasangan Mr. & Mrs. Perfect ini:

Susun atur dalaman rumah mereka yang rapi, kekemasan sentiasa pada tahap maksimum dan semua benda mesti berjalan seperti yang dirancang dan dijadualkan. Rutin hidup mereka semuanya berjalan seperti dalam catatan diari dalam kerapian tahap tinggi. Nota semakan kerja rumah tergantung pada peti ais, pada white board pula senarai semakan keberkesanan, perancangan pula dalam buku management tersendiri. Dengan tekun semua ini diulang-ulang saban hari, minggu dan tahun.



Pada satu hari yang indah, si isteri bergegas memberitahu jiran tetangga berita gembira yang dikongsi bersama dengan sambutan syukur hampir seluruh kawasan kejiranan berhampiran. Menurut doktor, dia bakal menimang cahaya mata. Kegembiraan jelas terpancar pada pasangan ini, ucapan tahniah datang mencurah-curah. Begitu pantas masa berlalu. Akhirnya sampailah saat yang mendebarkan, anak yang ditunggu dilahirkan dengan selamat. Bayi lelaki comel ini benar-benar memberi sinar pelengkap kasih sayang di dalam rumah itu.




Tiga tahun berlalu, anak lelaki ini membesar dengan sihat dan subur, sesubur perhatian dan belaian daripada ayah dan ibu. Namun berlaku sesuatu yang tidak diduga oleh ibunya selama ini. Anak lelaki ini mempunyai perangai yang seratus peratus berbeza dengan sikap ibunya. Kalau ibunya sangat kemas, anak lelaki ini akan mengeromot segalanya. Rumah yang selama ini kemas teratur sering kali bertukar wajah menjadi seperti lepas perang, kena penangan anak ini. Keadaan tidak terkawal, anak ini mungkin telah dimanjakan berlebihan.




Si ibu merintih derita. Apa yang berlaku ini bertentangan sama sekali dengan kanun dirinya. Semua mesti sempurna! Sampai pada tahap ini si ibu selalu terlanjur cakap bahawa mempunyai anak sebenarnya satu kesilapan. Anak bukan penyejuk mata sebaliknya peragut ketenangan.

Bagi mendidik si anak, si ibu terpaksa menggunakan sedikit kekerasan, cubit, rotan dan meminta dia berikrar untuk tidak mengulanginya kembali. "Mama, abang minta maaf ... Abang tak akan ulang lagi." Itulah ungkapan yang diajar setiap kali kesalahan dibuat. Satu lagi tabiat yang pelik bagi anak ini ialah dia akan mengoyak kertas yang dijumpainya dan dibiarkan bersepah merata-rata. Cubitan dan kemarahan tidak berjaya mengubah tingkah lakunya, dia masih dengan tabiat menyepah-nyepah, kemudian rumah jadi bingit dengan leteran dan bahang kemarahan ibu. Begitulah yang sering berlaku.

Pada suatu hari si ibu bergegas mengemaskan rumah kerana kawan lamanya bakal datang melawat. Dia ke dapur memasak hidangan kepada tetamu yang bakal datang. Bila dia membawa makanan untuk dihidangkan, alangkah terkejutnya apabila dia melihat ruang tamu bersepah, sofa tunggang langgang dan koyakan kertas bertabur di mana-mana.

"Abang ... mari sini!!" Jerit si ibu memanggil anaknya lebih kuat daripada biasa. Kemarahannya mencecah siling kesabaran dan membakar rentung ladang hemahnya. Si anak ketakutan lalu lari meluru ke arah pintu. Si ibu mengejar dari belakang. Nafasnya tertahan-tahan menahan marah.. Kaki anak melangkah keluar dari rumah dengan larian deras. Sesaat dia telah berada di hadapan pagar. Tiba-tiba terdengar satu bunyi hentaman keras. Larian ibu terhenti. Wajah terasa basah terpercik sesuatu. Dia terpaku ... Alangkah terkejutnya apabila melihat anaknya menggelupur kesakitan berhampiran longkang besar di tepi rumahnya. Basah di muka tadi rupanya adalah darah anaknya. Dia tidak mempedulikan lagi pada kereta yang melanggar, dia meluru mendapatkan anak dan merangkulnya. Darah merah ada di mana-mana, dada anak berombak-ombak, tubuh kekejangan, terdengar bunyi rengekan menahan sembilu kesakitan yang amat. Tanpa berlengah dia terus memandu keretanya, anak diletakkan ke atas ribanya, tubuhnya kini dibasahi darah merah segar anaknya, dia terus memecut laju ke hospital.

"Ya Allah ... tolonglah selamatkan anakku ini." Doanya dalam raungan kuat sambil memandu laju. Hon dibunyikan bertalu-talu minta laluan daripada pemandu lain.

"Ya Allah ... aku tahu aku gagal menjadi seorang ibu yang baik tetapi aku memohon sekali ini ... Ya Allah selamatkanlah anakku ini."

Air matanya bercucuran dengan deras menitis, tumpah dan bergaul dengan darah merah anaknya. Perjalanan terasa begitu jauh dalam keadaan begini. Nafas anak tercungap-cungap. Dari mulut, hidung juga telinga darah terus mengalir begitu deras. Si anak bergelut dengan kesakitan, dada berombak kuat, setiap kali dia membuka mulutnya darah bercucuran keluar.

Anak seperti ingin menuturkan sesuatu, ibu menangis semahunya.

"Mama maafkan abang ..." Ungkapannya sukar ... tersekat-sekat kerana kesakitan itu.

"... Abang janji tak akan buat lagi."

Itulah ucapan yang selalu dituturkan apabila ibunya marah. Ibu memegang mulut anak, hatinya menangis. Bukan ini yang ibu mahu dengar.

Sebaik sampai di hospital, anak dikejarkan ke bahagian kecemasan. Ibu menunggu di luar, dia membuat panggilan kepada suami dan mengurus segala prosedur yang patut. Dengan baju dipenuhi darah tanpa merasa malu pada orang sekeliling yang melihatnya, dia menangis sekuat hati, rasa sesal mengasak kuat segenap ruang hatinya.

"Ya Allah berilah aku peluang kedua untuk menjadi seorang ibu yang baik, aku sedar akan kesalahanku ..."

"Ya Allah selamatkanlah anakku hari ini ..."

Doa tidak pernah putus dari bibirnya dengan permohonan setulus-tulusnya kepada tuhan.

Setelah lama menunggu, tiba-tiba doktor keluar. Bebola matanya merenung penuh pengharapan pada doktor.

"Puan, maafkan ... Kami telah cuba melakukan yang terbaik." Patah bicara doktor satu-satu menyusun kalimah.
"Anak puan ... Telah meninggal dunia."

Hanya itu yang mampu dituturkan, walaupun selalu tetapi tetap sukar untuk menjelaskannya kepada ibu ini.

Dunia terasa seperti pasir jerlus yang menyedut dengan deras ke dalam, kepingan langit sekeping-sekeping menghempas ubun-ubun kepalanya. Alangkah sakitnya hakikat ini. Dalam tangisan berderai, dia meluru dan merangkul sekujur tubuh anaknya dengan mata tertutup rapat, kesakitan telah tiada bersama nafasnya yang berangkat pergi buat selama-lamanya.

"Anak ... Kamu tidak mendapat apa yang sepatutnya ibu berikan di sepanjang perjalanan pendekmu ini ..." Ibu mencium semahu-mahunya. Namun wajah itu hanya kaku, dingin sekali.

Jenazahnya kemudian diuruskan sehingga selesai sempurna. Malam itu apabila lampu tidur dimatikan dan kawasan kejiranan sunyi, ibu keluar ke kawasan tong sampah di hadapan rumah. Dia menyelongkar sampah semalam mencari koyakan kertas anaknya. Malam itu di ruang tamu rumahnya penuh koyakan kertas yang ditaburkan.


Dengan nada lemah sekali bersama lelehan air mata hangat ibu berkata, "Alangkah indah andainya ini yang ibu lihat pada setiap hari di sepanjang hidup ini.""Ibu rindu kepadamu ... Ibu rindu kepada nakalmu ... Ibu rindu pada koyakan kertas ini, tetapi kenapa ibu buta tentangnya selama ini?"Tangisan hanya saksi bisu dengan irama tersendiri, namun hakikat yang terpaksa direngguk ialah semua itu tidak boleh diulang lagi.
Anak comel itu tidak akan pulang lagi ke rumah sampai bila-bila.

**********

Benar, sesetengah nikmat itu hanya datang sekali, kerana itu nikmati dan syukurilah, bersyukurlah sentiasa.
Amat malang kerana kita selalu sedar dan menghargai sesuatu, hanya selepas nikmat itu terlerai daripada genggaman.

Dec 14, 2009

33 Tahun



Hari ni bertambah satu lagi angka dalam hidup aku. Angka 33 membawa 1001 makna dalam hidupku. Angka yang menandakan satu lagi pertambahan dalam hidupku. Satu angka yang sepatutnya menjadikan aku seorang insan yang sudah matang dalam menjalani hidup seharian.



Banyak yang aku sudah kecapi dalam hidup ni terutama setelah alu menjejak kan kaki ke bumi Sri Iskandar ni. Ibarat aku membuka satu lembaran baru dalam hidup. Di sinilah kereta pertama aku beli, anak pertama dan kedua dan seterusnya (hehehehe) dan rumah pertama yang aku miliki dari titik peluh sendiri. Aku berharap dan berdoa agar dengan bertambahnya umur aku ini menjadikan aku seorang insan, suami dan kawan yang betul-betul berkualiti. Insyaallah.

Terima kasih kepada semua yang wish birthday kepada aku samada melalui sms, call, email dsb. Aku sayang kat kalian semua.


Dec 10, 2009

Selamat Pengantin Baru Kawan-kawan



Musim cuti sekolah hujung tahun nih banyak aku terima jemputan walimatulurus dari kawan-kawan sekerja, sedara dan jiran yang baru nak mendirikan rumah tangga.

Musim di mana bunga manggar ada di mana-mana,
musim dimana bunyi kompang dimana-mana,
musim dimana jari-jari mempelai diinai berseri,
musim teruna dan dara disatukan,
musim yang bujang menempuhi alam baru


Teringat lah pulak kenangan manis masa aku bergelar raja sehari dulu hehehehe

Banyak jemputan dari kawan sekerja bermula dengan Cik Puan Hellina, Cik Puan Fifi, Midi, Khalid dll tak dapat aku penuhi kerana bermula dari 9 Nov-4 Dec aku kerja 7 hari seminggu. Takpe2 Insyaallah hadiah akan menyusul kemudian. Jemputan Midi dan Puteh/Cik Puan Suhana akan cuba aku penuhi ketika majlis di pihak lelaki pada 19hb (Midi) ni dan 27hb(Puteh) ni.

Kepada yang baru menempuh hidup baru sebagai suami atau isteri, aku doakan kalian semua sabar menempuhi segala dugaan dalam hidup berumahtangga. Ada masa gembira dan ada masa suram. Kita dan pasangan kita harus saling melengkapi dan menerima pasangan masing-masing seadanya.


Ya Allah Ya Tuhan Kami
satukan hati kedua mempelai ini
seperti Engkau satukan hati Adam & Hawa, Yusuf & Zulaikha dan
seperti Engkau satukan hati Junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W & Siti Khadijah.
Semoga Allah memberkati kamu berdua serta mengjimpunkan kamu berdua
kebaikan dan keberkatan di dunia & di akhirat


Tahniah semua

Dec 8, 2009

Menghitung Hari





Hari ni aku dapat satu berita baik, cuti aku hari Jumaat ni dah dapat green light dari big boss Yahoooooooo

Jadi plan aku untuk balik awal ke kampung akan menjadi kenyataan. Bestnya...

Aku plan nak bertolak balik ke Kelantan melalui Jalan Timur-Barat melalui Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan awal-awal pagi hari Jumaat. Ambil berkat penghulu segala hari. Dah tak sabar rasanya nak jumpa my family terutamanya buah hati pengarang jantung aku, my little princess & prince. Rindu betul kat anak-anak abah ni. Dah hampir 2 minggu tak dapat peluk cium my little kids.

Kira-kiranya aku tengah menghitung hari lah kiranya ni.



Dec 4, 2009

Tazkirah Jumaat: Seketul keju dan sehelai tuala kecil

Setelah sekian lama aku tak selitkan tazkirah Jumaat, hari ni aku ingin kongsikan bersama satu kisah yang aku dapat dari Ustaz Zuriat. Sama-samalah kita kongsikan bersama.


oleh: Ustazah Noorbayah Mahmood.
Seorang gadis datang menemui Rasulullah dengan tangan kanannya disorokkan ke dalam poket bajunya. Dari raut wajahnya, anak gadis ini sedang menanggung kesakitan yang amat sangat. Lalu Rasulullah menegurnya.



"Wahai anakku, kenapa wajahmu menampakkan kamu sedang kesakitan dan apa yang kamu sorokkan di tanganmu?"
Lalu gadis malang inipun menceritakan hal yang berlaku padanya :- "Ya,Rasulullah, sesungguhnya aku adalah anak yatim piatu. Malam tadi aku telah bermimpi dan mimpiku itu telah membuatkan aku menanggung kesakitan ini." Balas gadis tadi.
"Jika tidak jadi keberatan, ceritakanlah mimpimu itu wahai anakku."

Rasulullah mula tertarik dengan penjelasan gadis tersebut."Aku bermimpi berjumpa ibuku di dalam neraka.
Keadaannya amat menyedihkan. Ibuku meminta diberikan air kerana dia amat dahaga kerana kepanasan api neraka itu hingga peluh tidak sempat keluar kerana kekeringan sekelip mata." Gadis itu berhenti seketika menahan sebak.
"Kemudian kulihat ditangan kirinya ada seketul keju dan ditangan kanannya ada sehelai tuala kecil.Beliau mengibas-ngibaskan kedua-dua benda tersebut untuk menghalang api dari membakar tubuhnya. Lantas aku bertanya ibuku, kenapa dia menerima balasan sebegitu

rupa sedangkan ketika hidupnya ibuku adalah seorang hamba yang patuh dengan ajaran islam dan isteri yang taat kepada suaminya?

Lalu ibuku memberitahu bahawa ketika hidupnya dia amat bakhil. Hanya dua benda itu sahaja iaitu seketul keju dan sehelai tuala kecil pernah disedekahkan kepada fakir. Yang lainnya hanya untuk bermuka-muka dan menunjukkan kelebihan hartanya sahaja.

Lalu aku terus mencari ayahku. Rupanya beliau berada di syurga dan sedang menjamu penghuni syurga dengan makanan yang lazat dan minuman dari telaga nabi.

Ayahku memang amat terkenal kerana sikapnya yang dermawan dan kuat beramal. Lalu aku bertanya kepada ayahku. "Wahai ayah, ibu sedang kehausan dan menaggung azab di neraka.Tidakkah ayah ingin membantu ibu sedangkan di dunia kulihat ibu amat mentaatimu dan menurut perintah agama.



Lalu dijawab oleh ayahnya. Sesungguhnya beliau dan semua penghuni syurga telah dilarang oleh Allah dari memberi walau setitik air kepada isterinya kerana itu adalah pembalasan untuk kebakhilan yang dilakukan ketika didunia.

Oleh kerana kasihan melihat azab yang diterima oleh ibuku, aku lantas menceduk sedikit air mengguna tapak tangan kananku lalu dibawa ke neraka. Belum sempat air tersebut mencecah bibir ibuku, api neraka telah menyambar tanganku sehingga melecur.



Seketika itu juga aku tersedar dan mendapati tapak tanganku melecur teruk. Itulah sebabnya aku datang berjumpa engkau ya Rasulullah." Panjang lebar gadis itu bercerita sambil airmatanya tidak henti-henti mengalir dipipi.

Rasulullah kemudian meletakkan tongkatnya ke tapak tangan gadis tersebut lalu menadah tangan, berdoa memohon petunjuk dari Allah. Jika sekiranya mimpi gadis tersebut adalah benar maka disembuhkanlah agar menjadi iktibar kepada beliau dan semua umat islam.

Lalu berkat kebesaranNya tangan gadis tersebut sembuh. Rasulullah lantas berkata, "Wahai anakku, pulanglah. Banyakkan bersedekah dan berzikir dan pahalanya kau berikan kepada ibumu.Mudah- mudahan segala dosanya terampun.

INSYALLAH"

"WAR-WARKANLAH KPD SELURUH UMAT MUHAMMAD UNTUK SECEBIS PEDOMAN AGAR TIDAK MENGAMAL SIKAP KEBAKHILAN TERHADAP SESAMA MANUSIA..."

Rindu serindu rindunya



Dah hampir seminggu aku "bujang" sementara. Family stay kat kampung selepas Aidiladha. Sunyinya rasa kat rumah. Selalunya masa aku balik dari pejabat aku akan di sambut oleh my little princess dan my little prince. Masing-masing berlumba-lumba nak bermanja dengan abahnya. Tapi minggu ni bila balik ke rumah, suasana sunyi sepi je. Rasa pelik pun ada.

Abah rindu kat  Mama, Kak Bellah & Baby Rayyan.