Jan 27, 2012

Tazkirah Jumaat: Tepati Janji, Jangan di mungkari

Sekadar berkonsi secebis maklumat yang di hantar oleh teman melalui email. Renung-renungkanlah.

1. Akhlak yang mulia adalah merupakan buah keimanan dan puncak akhlak itu ialah berlaku amanah dan menepati janji, manakala pecah amanah dan tidak menepati janji pula merupakan tanda merosotnya iman dan jauh dirinya dari ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wataala.


2. Menepati janji itu adalah tuntutan syarak, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Israa' ayat 34 tafsirnya:

"Dan sempurnakanlah perjanjian dengan Allah Subhanahu Wataala dan dengan manusia, sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya."

3. Agama Islam tidaklah melarang kita membuat janji dengan sesiapa pun atau mana-mana pihak asalkan janji-janji itu disempurnakan dan ditepati, kerana orang yang menyempurnakan janji itu adalah salah satu tanda orang yang bertakwa. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 177 yang tafsirnya:

"Dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janji apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga masa bertempur dalam perjuangan Perang Sabil. Orang-orang yang demikian sifatnya, mereka itulah orang-orang yang benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa."

4. Perjanjian adalah suatu amanah yang wajib ditunaikan dan tidak dapat diambil ringan dan diambil remeh kerana perbuatan meringan-ringankan perjanjian apatah lagi tidak menepatinya adalah dimurkai oleh Allah Subhanahu Wataala, malah tergolong ke dalam golongan orang-orang munafik. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ash-Shaff ayat 2 - 3 tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga iaitu apabila dia bercakap dia berbohong dan apabila berjanji dia mungkir dan apabila diamanahkan dia khianat." (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).



5. Perlu diingat dan ketahui bahawa sifat munafik itu adalah sifat yang sangat keji dan balasannya pula amat berat sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nisaa' ayat 145 tafsirnya:

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari lapisan-lapisan dalam Neraka dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka."

Sebenarnya agama Islam telah banyak menunjuk ajar dan melatih kita bagaimana cara supaya kita boleh menepati janji, tetapi mungkin saja kita tidak menyedarinya.

6. Memandangkan janji itu suatu amanah dan mungkir janji itu pula perbuatan orang munafik dan berdosa besar, maka kerana itu agama Islam telah menentukan adab-adab yang perlu diikuti apabila membuat janji seperti mengucapkan lafaz insya-Allah apabila berjanji, suruhan ini telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu Wataala dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Kahfi ayat 23 - 24 yang tafsirnya:

"Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu yang hendak dikerjakan bahawa aku akan lakukan yang demikian itu kemudian nanti, melainkan hendaklah disertakan dengan berkata insya-Allah dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa dan katakanlah: Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini."

7. Perlu diingat bahawa janji adalah wajib ditepati manakala ucapan insya-Allah itu adalah suruhan Allah dan Rasul-Nya ketika berjanji. Ini bererti ucapan insya-Allah itu bukanlah sebagai alasan untuk tidak menyempurnakan janji yang dibuat dengan berserah kepada kuasa Allah semata-mata, tetapi perkataan insya-Allah yang dilafazkan itu hendaklah disertai dengan azam untuk menyempurnakan janji agar kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang munafik.

8. Ingatlah wahai kaum Muslimin betapa Islam sangat mengambil berat dalam soal janji. Oleh itu berhati-hatilah sebelum berjanji dan jadikanlah perkataan insy-Allah itu sebagai azam yang kuat ke arah menyempurnakan dan menunaikan janji yang dijanjikan. Jadikanlah diri kita orang-orang yang bertakwa dan penuh amanah, bukan daripada orang-orang yang mungkir janji yang tergolong dalam golongan orang-orang munafik. Nau'zubillahiminzalik.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Mu'minuun ayat 8 - 11 tafsirnya:

"Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya dan mereka tetap memelihara sembahyangnya, mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya."

No comments: