Nov 3, 2012

Satu perjalanan

Esok akan bermulalah cuti akhir tahun bagi tahun ini. Cuti panjang yang ditunggu-tunggu oleh semua pelajar sekolah rendah dan menengah.

Teringat aku dulu-dulu bagaimana aku dan adik beradik menghabiskan masa sepanjang hari di musim cuti. Sebagai anak seorang guru, aku dan adik beradik lain tidaklah bebas bermain sepanjang hari sepertimana kanak-kanak lain. Ada jadual yang telah ditetapkan oleh ayahanda sepanjang musim cuti. Beliau seorang yang mementingkan displin dan sesiapa yang tidak mengikutinya akan mendapat "hadiah" istimewa. Ini bukan bermakna kami tidak dapat menikmati nikmat cuti panjang ni tapi kami menikmatinya dengan cara kami yang tersendiri sesuai dengan jadual khas yang ditetapkan oleh ayahanda.

Sempena cuti panjang kali ini famili aku akan bercuti di kampung selama 3 minggu (lama tu). Pasti aku akan merindui riuh rendah dan gelagat-gelagat anak-anak tersayang. Selalunya bila pulang dari pejabat anak-anak akan berebut-rebut menceritakan apa yang mereka buat pada hari tu.

Perjalanan pulang ke kampung dari Sri Iskandar ke Kota Bharu akan mengambil masa lebih kurang 6 jam perjalanan. Satu perjalanan yang panjang melalui Jalan Timur-Barat yang mencabar, yang penuh dengan bengkang bengkok, turun naik bukit dan pemandangan indah hutan di sepanjang jalan (kalau malam ermmm tak nampak apalah jawabnya). Aku mengambil keputusan untuk bertolak ke kampung dengan lebih awal dari yang dirancangkan iaitu selepas solat Maghrib. Letih badan begitu terasa memandangkan di siang harinya kudrat dan tenaga aku dihabiskan di pejabat.



  
Cuaca tak berapa baik sejak dari awal perjalanan lagi. Hujan renyai dan kadang kala lebat di beberapa kawasan. Kira OKlah tu. Cuaca di Puncak Titiwangsa berkabus tebal dek hujan dan kesejukan yang melanda. Bila aku lihat suhu di luar lebih kurang 21-22 C. Sejuk tuh. Aku kena lebih berhati-hati memandangkan jalan licin dan jarak penglihatan yang terhad di kawasan berkabus.
Kali ini untuk kesekian kalinya aku terserempak dengan gajah di Jalan Timur-Barat. Bukan sekali tapi dua kali. Kecut perut isteri ku dibuatnya. Alhamdullilah semuanya berjalan dengan lancar dan aku dan famili selamat tiba di di kampung jam 2 pagi setelah menempuh perjalanan sejauh 379km.



No comments: